ANTARA peniaga yang dikompaun KPDNHEP cawangan Temerloh. FOTO ROSELAN AB MALEK
ANTARA peniaga yang dikompaun KPDNHEP cawangan Temerloh. FOTO ROSELAN AB MALEK
Oleh Roselan Ab Malek


TIGA peniaga termasuk seorang warga asing dikompaun selepas didapati melakukan kesalahan menggunakan penimbang tidak ditentusahkan serta tidak mempamerkan tanda harga untuk jualan runcit gas dalam operasi sekitar Temerloh, hari ini.

Warga asing dari India berusia 43 tahun itu dikompaun RM1,000 atas kesalahan tidak meletakkan tanda harga runcit jual gas di bawah Perenggan 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Sementara, dua lagi peniaga tempatan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(6), Akta Timbang dan Sukat 1972 turut dikompaun, namun jumlahnya belum ditetapkan.

Ketua Cawangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, kompaun dikeluarkan ketika pihaknya melakukan pemeriksaan bagi memastikan bekalan makanan asas yang mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekitar bandar Temerloh, pagi ini.

"Ketika pemeriksaan didapati dua peniaga tempatan itu berusia 34 dan 67 tahun menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

"Peniaga terbabit menggunakan satu unit alat timbang neraca spring had terima 10 kilogram (kg) yang tidak disahkan," katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang tempoh PKP bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan kementerian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 4:22 PM