Pegawai KPDNHEP Jerantut membuat  pemeriksaan di  sebuah restoren di Taman Perwira,  Lipis,  dan dikenakan kompaun kerana,   gagal mempamerkan tanda harga makanan yang dijual.  FOTO IHSAN KPDNHEP JERANTUT
Pegawai KPDNHEP Jerantut membuat pemeriksaan di sebuah restoren di Taman Perwira, Lipis, dan dikenakan kompaun kerana, gagal mempamerkan tanda harga makanan yang dijual. FOTO IHSAN KPDNHEP JERANTUT
Roselan Ab Malek


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 50 ketul ayam goreng, sebekas kari ayam dan kari kambing selepas sebuah restoran di Kuala Lipis gagal mempamer tanda harga pada makanan itu.

Kesalahan terbabit menyebabkan pemilik restoran itu dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, tindakan itu diambil ketika pemeriksaan pihaknya pada 5 petang semalam.

Katanya, semua peniaga termasuk penjual makanan tertakluk peraturan yang menetapkan mereka meletakkan tanda harga.

"Kegagalan peniaga berusia 34 tahun itu menyebabkan dia dikompaun RM1,000 dan dia membayarnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu di Jerantut, seorang peniaga dikompaun RM500 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan, dalam pemeriksaan pada 11 pagi hari sama.

Katanya, peniaga berusia 34 tahun itu menjalankan perniagaan penghantaran barang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (6) Akta Timbang dan Sukat 1972, dan alat timbang 50 kilogram bernilai RM150 disita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:19 PM