KOMPLEKS PKNS Shah Alam pada 2 Mei lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
KOMPLEKS PKNS Shah Alam pada 2 Mei lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Norzamira Che Noh


KOMPLEKS PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi bakal beroperasi semula bermula 6 Mei ini.

Ia susulan Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan pengoperasian semula pusat membeli-belah dan beberapa sektor ekonomi yang lain.

Ketiga-tiga pusat membeli-belah dimiliki PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) sebelum ini menutup hampir kesemua premis kecuali perkhidmatan penting serta membatalkan penganjuran bazar ramadan dan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pembukaan semula pusat membeli-belah PREC termasuk aset yang lain dijadualkan pada 6 Mei 2020 untuk memberi ruang kepada proses sanitasi, pembersihan bangunan serta bagi melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, pejabat pengurusan PREC dan pejabat di semua aset PREC termasuk Menara PKNS Petaling Jaya dan Menara Worldwide sudah mula beroperasi hari ini.

"Kami juga sudah membuat membuat persediaan dari segi keselamatan dan kebersihan dengan merangka SOP dan garis panduan untuk pembukaan semula bangunan sejak awal PKP di umumkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah keselamatan termasuk memperketatkan kawalan dan proses kemasukan ke dalam premis bagi pengunjung, kakitangan dan penyewa dengan melakukan saringan suhu dan mencatat maklumat pengunjung.

Katanya, penyewa juga perlu membuat penandaan di lantai-lantai bagi memastikan pengunjung mematuhi penjarakan sosial; memastikan kakitangan kompleks, penyewa dan pengunjung mematuhi garis panduan penjarakan sosial; mewajibkan pemakaian topeng mulut dan hidung sebelum memasuki bangunan serta menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk dan lif-lif.

"PREC juga memberikan taklimat kepada penyewa, mengeluarkan garis panduan dan memastikan penyewa mematuhi SOP; membuat proses disinfeksi tiga kali sehari selari dengan garis panduan yang dikeluarkan MKN dan tidak membenarkan makan dan minum di dalam restoran sejajar dengan perintah kerajaan negeri.

"Kami akan turut membuat hebahan di skrin digital dan media sosial bagi memberi peringatan kepada pengunjung untuk senantiasa mematuhi garis panduan keselamatan," katanya.

Fakru Radzi turut memaklumkan walaupun FESTIRA dibatalkan, PREC membantu peniaga meneruskan aktiviti jualan melalui 'marketplace' dalam talian baru iaitu Bazaarlokal yang akan dilancar tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 12:34 PM