Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Satu garis panduan mengenai larangan membawa haiwan peliharaan akan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan untuk digunapakai di semua pusat membeli-belah dan pasar raya.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya akan berbincang mengenainya dengan pengurusan pusat membeli-belah dan pasar raya dalam masa terdekat.

Katanya, garis panduan itu penting supaya semua pemilik dan pengunjung memikirkan sensitiviti masyarakat lain.

"Garis panduan ini bukan hanya berkaitan anjing malah haiwan peliharaan lain juga.

"Kita datang untuk beli-belah, jadi tak payahlah bawa haiwan berkenaan yang boleh mengganggu keselesaan pengunjung lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) di Maktab Koperasi Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kementeriannya susulan insiden seorang wanita membawa anjing peliharaannya ke dalam pasar raya di Plentong, Johor menggunakan troli yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini hingga mengundang kemarahan orang ramai.

Sementara itu, pada majlis itu Ahmad Bashah turut menyampai sijil kepada 33 peserta antarabangsa yang menamatkan kursus pembangunan koperasi dan mengurangi kemiskinan.

Perserta terbabit dari 19 negaratermasuk Thailand, Kemboja, Filipina, Vietnam, Zambia, Sri Langka, Kiribati, Lesotho, Fiji, Turki, Uganda dan Azerbaijan.

Program selama dua minggu itu membabitkan dua kursus iaitu Sijil Pengurusan Koperasi dan Sijil Pengurangan Kemiskinan Koperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 7:59 PM