GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar

PENOLONG pengurus kilang di Kuantan menanggung kerugian RM84,950 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam, Isnin lalu.

Terdahulu mangsa wanita, 42, mendakwa menerima mesej WhatsApp daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr Usman daripada syarikat penghantaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa terdapat bungkusan kotak milik pengadu dari Amerika Syarikat yang dialamatkan di Kawasan Perindustrian Gebeng.

"Selepas itu, Mr Usman memberitahu bahawa dalam bungkusan berkenaan mengandungi bag berjenama dan meminta mangsa membuat pembayaran cukai sebanyak RM9,150 bagi melepaskan barang itu sampai kepadanya.

"Mangsa memberitahu bahawa dia tidak pernah membuat pesanan dari Amerika Syarikat. Namun suspek mendakwa akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang takut ditahan polis kemudian membuat transaksi wang berjumlah RM9,150 ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek pada hari sama.

"Bagaimanapun, Mr Usman meminta lagi wang bagi memudahkan bungkusan diterima dan meminta mangsa membuat transaksi wang dengan pelbagai alasan.

"Mangsa kemudian membuat dua kali lagi pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan wang diserahkan kepada sindiket itu sebanyak RM84,950.

"Bagaimanapun, mangsa akhirnya menyedari diri menjadi mangsa penipuan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabitkan kesalahan.

Katanya,pihak polis sudah berulang kali memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan taktik penipuan seumpama itu.

"Buat semakan terlebih dahulu dengan pihak berwajib seperti kastam dan syarikat kurier dikaitkan, dengan menghubungi nombor telefon sahih bagi mendapatkan kepastian sama ada wujud atau tidak bungkusan yang dimaksudkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 11:06 AM