Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


IMPIAN seorang kakitangan kerajaan untuk melancong ke Eropah selama 11 hari musnah apabila kerugian RM8,950 selepas ditipu syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian tidak wujud di laman Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 30 tahun itu pada mulanya melihat satu iklan percutian ke Eropah selama 11 hari lapan malam di FB pada Oktober 2017.

“Mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita dan selepas membuat perbincangan dia bersetuju untuk mengambil pakej percutian berkenaan.

“Wanita itu kemudian memindahkan wang secara berperingkat sebanyak tujuh kali transaksi ke dalam dua akaun syarikat yang diberikan oleh suspek bermula Oktober 2017 sehingga 7 Februari lalu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dibayar kepada syarikat berkenaan sebanyak RM8,950,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Katanya, bagaimanapun, pada 8 Februari lalu, mangsa dimaklumkan pakej percutian berkenaan dibatalkan kerana syarikat mengalami masalah dalaman.

“Selepas itu, mangsa cuba menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan kembali wangnya namun gagal.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang juruteknik wanita berusia 29 tahun di daerah ini kerugian RM20,900 selepas ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud di FB, Rabu lalu.

Katanya, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pinjaman wang yang dipromosikan Syarikat Price Solution Sdn Bhd di FB sebelum meninggalkan nombor telefonnya di ruangan komen.

“Selepas itu, mangsa dihubungi oleh seorang lelaki sebelum memberitahu suspek yang dia ingin membuat pinjaman peribadi sebanyak RM25,000.

“Bagaimanapun mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran seperti kos peguam, insurans dan wang proses sebelum dia membuat pindahan wang sebanyak lapan kali menjadikan jumlah keseluruhan RM20,900.

“Bagaimanapun, semalam, suspek ada meminta mangsa membayar RM2,600 lagi untuk membatalkan pinjaman, namun dia enggan kerana berasa ditipu sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 2:42 PM