ABDUL Azeez melawat Mohd Yusoff sambil diperhatikan Suhaimi di Kampung Bukit Kuala Kuang, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
ABDUL Azeez melawat Mohd Yusoff sambil diperhatikan Suhaimi di Kampung Bukit Kuala Kuang, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


"SELAGI hayat masih ada, saya akan terus menjaga dia," kata penoreh getah, Suhaimi Abdul Hamid, 47, yang menjaga adiknya Mohd Yusuff Abdul Hamid yang terlantar selepas terjatuh motosikal ketika pulang menoreh dua tahun lalu.

Mohd Yusuff, 44, hanya terlantar selepas doktor mengesahkan otaknya tidak lagi berfungsi.

Suhaimi berkata, dia dan ibu, Minah Salleh, 82, menjaga Mohd Yusuff yang memerlukan rawatan susulan setiap tiga bulan sekali.

"Ada masanya saya tidak dapat keluar menoreh kerana mengurus rutin harian adik seperti makan dan tukar lampin pakai buang kerana ibu sudah uzur.

"Dia hanya bergantung minum susu melalui tiub setiap hari. Setiap tiga jam dia kena minum susu," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Kampung Bukit Kuala Kuang, Kupang, hari ini.

Suhaimi berkata, demi adik, dia berkorban dan menjaganya dengan penuh kasih sayang selagi hayatnya masih ada.

"Saya perlu mencari wang tambahan untuk membeli susu dan keperluan lain apabila terputus.

"Satu tin besar hanya bertahan dua hari saja," katanya.

Menurutnya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM200 serta bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM1,000 sebulan tidak mencukupi untuk keperluan.

Suhaimi berkata, setiap bulan dia berbelanja kira-kira RM1,500 untuk beli susu saja tidak termasuk lampin pakai buang dan tiub yang perlu ditukar tiga bulan sekali.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau menyumbang lampin pakai buang, susu dan menyediakan pengangkutan untuk membawa Mohd Yusuff ke Hospital Baling (HB) bagi mendapat rawatan susulan.

"Saya akan membantu apa-apa keperluan lain bagi meringankan beban keluarga ini.

"Syukur dia masih ada abang yang menjaganya tanpa penat lelah selain menjaga emak yang uzur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 10:27 AM