Noorazura Abdul Rahman

Sik: "Saya terpaksa berhenti kerja sebagai tukang rumah untuk jaga isteri yang koma selepas melahirkan anak secara pembedahan tiga bulan lalu," kata Muhammad Shazuan Md Saad, 36.

Selain perlu memberi tumpuan kepada penjagaan isterinya, Nurul Azhani Abu Hassan@Hussain, 35, dia turut perlu menjaga tiga anak berusia 11 dan sembilan tahun serta anak bongsu berusia tiga bulan.

Menurut Muhammad Shazuan, isterinya yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) memerlukan penjagaan rapi dan perlu diberikan susu melalui tiub setiap tiga jam dan membuang kahak secara kerap.

"Selepas lahirkan anak menerusi pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, isteri saya pengsan dan jantungnya terhenti setengah jam, sebelum disahkan koma oleh doktor. Dia langsung tidak dapat melihat atau memegang anak yang dilahirkan.

"Doktor beritahu punca isteri saya koma adalah disebabkan air ketuban masuk ke dalam saluran darah dan kes itu sangat jarang berlaku. Saya difahamkan ia selalunya berakhir dengan kematian," katanya yang kini bertugas sebagai siak di masjid di kampung berkenaan.

Muhammad Shazuan berkata dia kini banyak dibantu saudara mara serta jiran termasuk meringankan urusan menjaga anak-anak.

"Kakak ipar banyak membantu saya sekeluarga selepas isteri koma, selain itu jiran terdekat dikenali sebagai Mak Lang Jah bersama anaknya turut membantu menjaga anak-anak saya," katanya.

Menurutnya, dia dan isteri sebelum ini tinggal di rumah mentua, Maimunah Ahmad, 75, kerana dalam masa sama turut menjaganya yang tidak dapat berjalan kerana masalah saraf.

Muhammad Shazuan berkata isterinya perlu minum susu khas yang berharga RM50 setin dan menggunakan lampin pakai buang.

Katanya, elaun sebagai siak sebanyak RM700 sebulan digunakan untuk persekolahan anak-anak dan membeli susu serta lampin pakai buang untuk anak bongsunya.

Manakala katanya, wang untuk membeli tiub, ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang adalah hasil sumbangan saudara mara dan kenalan.

"Pihak hospital ada bekalkan kira-kira 60 tin susu cukup untuk keperluan dua bulan isteri saya, selepas ini saya perlu beli sendiri. Ini bermakna untuk susu sahaja saya perlu ada RM1,500 sebulan belum masuk lampin pakai buang sebanyak RM200 sebulan.

"Saya juga perlu menyewa ambulans setiap kali isteri saya ada janji temu dengan doktor di hospital. Bulan lalu saya perlu sewa ambulans RM400 untuk bawa isteri saya ke HSAH, Sungai Petani. Selepas ini saya perlu membawanya ke Hospital Sik dan pada November ke HSAH semula," katanya.

Muhammad Shazuan berkata doktor memberitahu isteri saya boleh sedar kembali tetapi dia mungkin akan hilang ingatan.

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Shazuan boleh dihubungi menerusi nombor telefon 019-3523308.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 4:31 PM
MUHAMMAD Shazuan mendukung anak bongsunya, Muhammad Zakuan Adha di sisi Nurul Azhani. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
MUHAMMAD Shazuan mendukung anak bongsunya, Muhammad Zakuan Adha di sisi Nurul Azhani. FOTO Noorazura Abdul Rahman.