DR Noor Zaitun (kanan) dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar (dua kiri) menunjukkan contoh peralatan perlindungan peribadi (PPE) Terengganu. FOTO Ihsan UMT
DR Noor Zaitun (kanan) dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar (dua kiri) menunjukkan contoh peralatan perlindungan peribadi (PPE) Terengganu. FOTO Ihsan UMT
Zatul Iffah Zolkiply


PROJEK menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) Terengganu bagi membantu barisan hadapan menangani pandemik Covid-19 terus mendapat bantuan apabila menerima sumbangan sebanyak RM15,000.

Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Noor Zaitun Yahaya berkata, sebanyak RM10,000 diterima pihaknya daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Persatuan Darul Fitrah, manakala RM5, 000 lagi diterima daripada Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Noor Zaitun yang juga Pengarah Projek NGO’s Support Team berkata, UMT juga bersetuju untuk bersama-sama memberi komitmen dalam membantu menjayakan misi berkenaan.

“Penghasilan PPE ini adalah selari dengan bidang kepakaran yang ada di FTKKI dengan bantuan beberapa pakar teknologi dan jurulatih terlatih (NIOSH).

“PPE yang dihasilkan ini adalah untuk kegunaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Terengganu serta barisan hadapan lain yang memerlukan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (The Malaysian Clean Air Association atau MyCAS).

Noor Zaitun berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 5,000 unit penutup muka dihasilkan oleh sukarelawan UMT dan 1,500 ‘isolation sets’ oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu.

“Dengan kekuatan lebih 40 sukarelawan UMT dan 40 tukang jahit dari seluruh Terengganu, saya yakin kami dapat mencapai sasaran ini dan meneruskan misi bantuan seterusnya jika perlu,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar menerima sumbangan daripada Pengerusi MACMA Negeri Terengganu Datin Norhana Ng Abdullah dan Tengku Hassan di Kuala Nerus hari ini.

Tambah Noor Zaitun, pihaknya terharu kerana beberapa badan bukan kerajaan seperti NGO Face Shield Hero Malaysia, Majlis Dakwah Negara negeri Terengganu, Jawatankuasa Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut sama membantu bagi menjayakan projek itu.

“Projek penghasilan PPE dibiayai dana sumbangan, NGO, badan korporat serta orang ramai dan kami memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 untuk menampung pelbagai kos penghasilan fasa pertama PPE ini yang dijangka berakhir pada 14 April depan.

“Individu atau institusi yang berhasrat menyokong projek ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Malaysia Berhad (5630-6414-4012 atas nama The Clean Air Forum Society of Malaysia) dengan sumbangan dikecualikan daripada cukai (tertakluk kepada kelulusan pihak LHDN),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 4:09 PM