DR Johari Yap (kanan) menyerahkan PPE kepada Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, Dr Adam Firdaus Dahlan (dua kiri). FOTO ihsan Dr Johari Yap
DR Johari Yap (kanan) menyerahkan PPE kepada Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, Dr Adam Firdaus Dahlan (dua kiri). FOTO ihsan Dr Johari Yap
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


PERSATUAN Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Kelantan akan mengagihkan 3,000 set lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan di seluruh negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi MACMA Kelantan, Dr Johari Yap berkata, hasil peruntukan dana yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn Bhd, Hafizuddin Hiew selain sumbangan ahli MACMA, pihaknya dapat menyediakan keperluan PPE bagi digunakan kakitangan kesihatan untuk ujian saringan kepada pesakit Covid-19.

Menurutnya, MACMA sudah menempah 1,000 set PPE lengkap terdiri daripada gaun, penutup kepala, penutup kaki dan penutup but yang kini sedang dijahit oleh sukarelawan MACMA Terengganu.

“Manakala 2,000 set lagi akan dijahit sendiri oleh ahli MACMA Kelantan iaitu dalam kalangan mualaf selain turut dibantu beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain di negeri ini untuk menyiapkannya

.

“Bahan asas yang digunakan untuk menjahit PPE ialah kain jenis ‘non woven’ dan sudah ditempah di sebuah kilang di Kedah namun diberitahu ia sudah kehabisan stok dan kami perlu menunggu selain harganya juga meningkat sehingga tiga kali luar daripada kebiasaaanya,” katanya.

Keadaan itu menurut Dr Johari menyebabkan kos bahan mentah untuk menyiapkan PPE meningkat kepada RM100 sepasang berbanding RM30 sepasang sebelum ini.

“Namun bukan ini yang menjadi ukurannya jika dibandingkan dengan nyawa petugas barisan hadapan yang berdepan dengan risiko yang mungkin boleh mengancam nyawa mereka sendiri.

“Bagi mempercepatkan proses menjahit PPE ini, MACMA Kelantan akan memohon kerjasama daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk meminjam mesin jahit daripada mereka memandangkan kami mempunyai empat mesin jahit sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Johari berkata, sebelum ini, pihaknya sudah menyerahkan 100 set PPE kepada Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh dan 50 set lagi diberikan kepada Klinik Kesihatan Wakaf Bharu bagi keselamatan petugas barisan hadapan yang melakukan saringan ke atas pesakit Covid-19 yang datang mendapatkan rawatan di sana.

“Bagaimanapun, PPE yang diserahkan kepada kedua-dua klinik kesihatan ini adalah atas permintaan saya sendiri apabila melihat situasi petugas barisan hadapan yang amat memerlukan pakaian khas ini untuk melindungi diri mereka daripada wabak Covid-19.

“Atas sebab itu, MACMA Terengganu bersetuju membekalkan sebahagian daripada 1,500 PPE yang dijahit oleh 80 sukarelawan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan tukang jahit dari seluruh Terengganu untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.

“Walaupun pada awalnya kami tidak dapat membekalkan PPE ini dalam bilangan yang besar seperti NGO lain, tetapi sekurang-kurangnya jumlah yang kecil ini dapat menampung keperluan petugas barisan hadapan untuk berhadapan dengan situuasi sekarang,” katanya.

Beliau berkata, hatinya terusik dan sedih melihat keadaan petugas barisan hadapan negara dalam memerangi wabak Covid-19 kerana ada di antara mereka yang mempunyai kemahiran menjahit terpaksa mencuri masa untuk menjahit PPE walaupun ketika itu mereka sepatutnya habis berkerja.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 3:30 PM