BAI tia. FOTO NSTP
BAI tia. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LAPAN pakar perubatan dari China yang tiba di Malaysia semalam adalah dari pelbagai bidang kepakaran dan dipilih oleh Suruhanjaya Kesihatan di Wilayah Guangdong.

Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian berkata, mereka khusus dalam pelbagai bidang seperti penafasan, rawatan rapi, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virologi dan perubatan tradisional Cina.

“Mereka adalah antara pakar terbaik yang dipilih khas oleh China. Sebahagian daripada mereka pernah bertugas di wilayah Hubei.

“Pasukan ini akan berada di Malaysia selama dua minggu secara tentatif, mereka juga akan pergi ke Sabah dan Sarawak untuk berkongsi kepakaran mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bai Tian berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia dan kakitangan perubatan negara bakal menerima manfaat daripada sesi pertukaran ini.

“Kami yakin akan usaha Malaysia dalam mencegah wabak Covid-19 dan kami berharap Malaysia akan memenangi perang ini tidak lama lagi.

“Ketibaan pasukan pakar perubatan ini sekali lagi melambangkan hubungan baik Malaysia-China bahkan ‘Bukit Sama Didaki, Lurah Sama Dituruni’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Pakar Perubatan terbabit Dr Li Jun terharu menerima sambutan mesra dari kerajaan Malaysia.

“Saya terharu dengan sambutan mesra oleh pihak Malaysia. Kami datang ke sini atas semangat layanan baik China kepada Malaysia.

“Kami akan menggunakan masa di Malaysia dengan sepenuhnya untuk membantu Malaysia mencegah Covid-19 bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 2:35 PM