BAI Baih.
BAI Baih.
Ardini Sophia Sina


Pemilihan nama menarik cukup penting bagi selebriti hingga ada menukar dengan nilai lebih komersial jika nama asal dilihat kurang sesuai.

Perkara sama berlaku kepada aktres China, Bai Baihe yang sebelumnya dikenali dengan nama sebenar, Bai Xue. Bagaimanapun disebabkan nama itu sama dengan seorang penyanyi, dia disarankan menukar namanya.

Rakan menyarankan sama ada dia menggunakan nama Bai He ataupun Bai Jia tetapi akhirnya dia memilih Bai Baihe.

Ternyata dengan nama baru itu, kerjayanya semakin berkembang. Dari kaca TV dia melangkah ke layar perak.

Bai Baihe mula dikenali menerusi drama romantik komedi Love Is Not Blind pada 2011. Filem bajet rendah itu mencatat kejayaan besar dengan kutipan pecah panggung di China.

Kejayaan tiga filem dibintangi termasuklah A Wedding Invitation di samping Eddie Peng pada 2013 mengukuhkan lagi namanya. Walaupun ketika itu bergelar isteri, status itu tidak menghalangnya untuk terus diminati.

Bai Baihe mengambil keputusan berkahwin dengan Chen Yufan, gandingannya dalam drama Bloom Of Youth ketika namanya berada di puncak populariti pada 2006.

Bai Baihe akui ketika memaklumkan akan berkahwin, ibunya sangat terkejut. Ketika itu usianya 22 tahun dan kerjayanya juga baru saja berjalan dengan lancar.

“Ibu menganggap ia bukan masa yang sesuai. Katanya saya masih muda dan menasihati saya terlebih dulu memberi tumpuan sepenuhnya mengukuhkan karier.

“Bagaimanapun, saya tetap dengan keputusan untuk berkahwin. Selepas dua tahun, saya bergelar ibu apabila melahirkan Chen Shengtong.

“Ketika itu semua wanita ingin berkahwin pada pertengahan atau lewat 20-an tetapi saya tidak menyesal berkahwin awal. Saya rasa itu adalah keputusan paling tepat yang pernah saya buat,” katanya.

Anaknya yang kini berusia sembilan tahun tidak pernah tahu ibunya seorang bintang filem. Bagaimanapun, Shengtong menyedari ayahnya seorang pelakon yang mempunyai nama besar.

Walaupun Baihe dan suaminya pelakon, pasangan ini tidak mahu anaknya mengikut jejak langkah mereka sebaliknya ingin melihat anaknya mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya tidak mahu Shengtong mengikut jejak langkah ibu dan ayahnya. Biarlah kami saja yang terbabit dalam dunia seni. Berlakon adalah pekerjaan yang memenatkan. Kami tidak banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga. Saya tidak mahu dia menjadi seperti kami.

“Malah media pada masa kini juga tidak seperti awal pembabitan saya dalam industri. Ia amat menakutkan. Saya tahu betapa susahnya bergelar pelakon. Biarlah Shengtong memilih pekerjaan lain.

“Kalau boleh saya mahu dia memilih pekerjaan yang tidak ada kaitan langsung dengan dunia seni sama ada pelakon, pengacara, penyanyi atau bekerja di sebalik tabir. Lebih menggembirakan kalau dia mempunyai pekerjaan profesional,” katanya.

Sepanjang bergelar pelakon, Baihe akui tidak pernah mendapat tidur yang cukup. Penggambaran memakan masa yang lama, masa tidur juga cuma 30 minit.

Pada waktu cuti, Baihe lebih suka duduk dan berehat di rumah. Dia juga jarang mempunyai masa dengan anaknya.

Kata Baihe, sebagai pelakon dia harus kelihatan cantik dan menarik pada luaran, namun dalamannya hanya dia yang tahu dan rasakan.

“Orang nampak kita sentiasa segar dan menawan. Hakikatnya, saya hanya dapat tidur 30 minit sehari ketika ada penggambaran. Bayangkan, penggambaran memakan masa kira-kira sebulan.

“Kalau saya memegang watak utama, sepanjang tempoh itu saya hanya tidur sekejap kemudian harus ke lokasi semula untuk bersolek. Proses itu saja akan mengambil masa yang lama. Harus tiba di lokasi lebih awal dari masa ditetapkan,” katanya.

Melihat kerjayanya masa kini, Baihe dilihat mampu mengambil tempat pelakon hebat Fan Bingbing kerana hampir semua filem lakonannya mendapat sambutan pecah panggung.

Filem Monster Hunt lakonannya hampir mencipta sejarah dengan hasil kutipan kira-kira RM300 juta begitu juga Go Away Mr. Tumor juga mendapat sambutan luar biasa.

Bagaimanapun dengan rendah diri, Baihe akui Fan Bingbing pelakon yang sangat hebat. Katanya, ketika dia masih merangkak, Fan Bingbing sudah terbang tinggi.

“Tidak mungkin saya dapat mengatasi kehebatannya sebagai pelakon. Sedangkan saya banyak belajar daripada cara dia berlakon,” katanya.

Filem baru lakonan Baihe, ChongQing Hot Pot bakal ditayangkan pada 21 April depan. Ia mengisahkan tiga rakan baik sejak sekolah menengah yang membuka restoran ‘hotpot’ di Chongqing.

Bagaimanapun, perniagaan itu gagal dan mereka mula mencari pembeli. Seorang individu sanggup membeli, namun restoran itu harus diubah suai terlebih dulu. Dalam proses pengubahsuaian, mereka menyedari lubang yang mereka gali bersebelahan dengan bilik kebal sebuah bank.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:02 AM