Al-Sultan Abdullah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan
Al-Sultan Abdullah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya keakraban, kerjasama dua hala di pelbagai sektor, hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974 dapat diperkukuh demi kepentingan serta kesejahteraan ekonomi bersama.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda merakamkan penghargaan kepada Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian yang bakal menamatkan penempatan di negara ini, esok.

Katanya, baginda menghargai bantuan dan sumbangan berterusan dihulurkan China kepada Malaysia sejak negara ini mula menghadapi penularan wabak Covid-19 pada awal tahun ini.

"Usaha Bai Tian dan khususnya Presiden China, Xi Jinping dihargai baginda.

"China di antara negara pertama menghulurkan sumbangan dan bantuan berbentuk dua juta pelitup muka, 120,000 pakaian pelindung diri (PPE) dan 200 ventilator serta lapan pakar perunding perubatan dalam usaha membantu Malaysia menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

"Al-Sultan Abdullah juga amat mengalu-alukan komitmen kerajaan China kepada Malaysia, untuk disenaraikan sebagai negara penerima utama vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan oleh China, melalui persetujuan yang dicapai Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya Wang Yi dalam perjumpaan 13 Oktober lalu," katanya menerusi kenyataan Istana Negara, hari ini.

Beliau berkata, hari ini, baginda berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan Bai Tian di Istana Negara jam 2 petang tadi.

Bai Tian secara rasmi mula berkhidmat sebagai Duta Besar China ke Malaysia pada 28 November 2017.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Bai Tian atas peranan yang dimainkan oleh beliau sepanjang perkhidmatan selama tiga tahun di Malaysia.

"Khususnya dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih komprehensif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 8:17 PM