BAI Shufang merawat seorang pesakitnya yang mendapatkan rawatan. - Agensi
BAI Shufang merawat seorang pesakitnya yang mendapatkan rawatan. - Agensi
Agensi

Beijing: Seorang doktor wanita di sebuah hospital di sini memakai pakaian seperti watak opera Cina lengkap dengan alat solek tebal sebagai cara untuk membuatkan pesakitnya lebih tenang.

Bai Shufang memberitahu, ramai pesakitnya gemuruh dan sukar untuk mendedahkan keadaan mereka menyebabkan dia sukar untuk mencadangkan rawatan yang sesuai.

Kata pakar dermatologi itu, ramai pesakit rasa tidak selesa dan tegang ketika berjumpa doktor menyebabkan dia mengambil keputusan untuk mengubah penampilan diri.

Sejak beberapa minggu lalu, Bai memperuntukkan sejam pada setiap pagi untuk memakai pakaian opera dan memakai alat solek tradisional yang tebal.

Gambar Bai yang memakai pakaian opera itu menerima pelbagai reaksi selepas ia tular di media sosial di China dengan ramai yang memuji usahanya itu.

Walaupun ramai yang mempersoalkan keberkesanan usahanya, Bai berkata, dia mula melihat kesan positif dengan ramai pesakit yang berjumpanya menjadi lebih tenang.

“Pada awalnya ada pesakit yang terkejut melihat saya tetapi lama kelamaan mereka semakin gembira dan ceria apabila datang ke hospital.

“Pesakit juga menjadi lebih terbuka untuk berkongsi masalah mereka yang sangat membantu saya bagi menentukan rawatan yang sesuai,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga mendapat sokongan rakan setugas dan pengurus hospital yang memuji usahanya itu.

“Pihak pengurusan hospital percaya cara saya ini memberi kesan positif kepada pesakit,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama petugas kesihatan menggunakan cara luar biasa untuk membantu pesakit bertenang.

Sebuah hospital di Thailand menyediakan topeng berwarna untuk dipakai pesakit dan petugas supaya mereka tidak malu membuat ujian pap smear.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:14 AM