SUASANA  lengang di Pekan Kuala Pilah yang dirakam pada 11 pagi hari ini. FOTO Amran Yahya.
SUASANA lengang di Pekan Kuala Pilah yang dirakam pada 11 pagi hari ini. FOTO Amran Yahya.
Amran Yahya


SUASANA lengang di pekan Kuala Pilah, hari ini membuktikan masyarakat di daerah ini sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki fasa ketiga.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, cogankata ‘duduk ontok-ontok kek ghumah, kito jago kito’ (duduk diam-diam di rumah, kita jaga kita) dipraktikkan sebaiknya oleh masyarakat di daerah ini.

“Pematuhan dan keprihatinan terhadap arahan yang ditunjukkan warga Kuala Pilah dizahirkan dengan gambaran fizikal yang mana tidak berlaku kesesakan lalu lintas serta bilangan kenderaan yang minimum.

“Semua sedia maklum, laluan Seremban-Kuala Pilah-Jempol adalah penghubung antara pantai barat ke pantai timur dan sebaliknya.

“Kesesakan lalu lintas pasti terjadi setiap kali menjelang hujung minggu dengan jumlah kenderaan bertambah sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa.

“Namun, sikap tanggungjawab serta patuh terhadap arahan pihak berwajib terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN) diterjemahkan melalui gambaran fizikal hari ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Pilah.

Mohd Faizal berkata, walaupun PKP sudah memasuki fasa ketiga, beliau yakin semua agensi terbabit sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Saya pasti wira barisan hadapan seperti petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) adalah ‘orang harapan’ kita.

“Mereka juga bukan calang-calang orang dan sudah pasti kelompok barisan pertahanan terakhir ini sentiasa bersedia menghadapi sebarang arahan yang mereka terima.

“Namun, kita sebagai rakyat haruslah memberi kerjasama, jangan menambah lagi beban mereka dan keluar rumah jika perlu sahaja,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 2:37 PM