PEGAWAI Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh. FOTO NSTP
PEGAWAI Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh. FOTO NSTP
Amran Yahya


BEBERAPA lampu isyarat di jalan Kuala Pilah-Seremban dan persimpangan masuk ke Kuala Pilah akan ditutup bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di sepanjang laluan berkenaan.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, pelaksanaan itu adalah pelan pengurusan lalu lintas daerah Kuala Pilah bersempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Penutupan lampu isyarat bermula dari persimpangan Ampang Tinggi hingga lampu isyarat Taman Rekreasi Ulu Bendul.

“Bagaimanapun, penutupan lampu isyarat di persimpangan Ampang Tinggi akan menyebabkan pengguna jalan raya dari arah jalan Seremban Lama ingin menghala ke Seremban perlu membuat pusingan U di hadapan Pasaraya Giant Melang," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Pilah, hari ini.

Syahrul Nizam berkata, selain itu berlaku penutupan jalan di persimpangan utama di bandar Kuala Pilah iaitu di persimpangan Jalan Undang Johol-Jalan Perpatih dan persimpangan Jalan Dato Undang Johol–Jalan Dato Abdul Manap.

Beliau berkata, persimpangan Jalan Dato Undang Johol–Jalan Ulu Muar akan dibuka dan hanya akan ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di dalam kawasan bandar Kuala Pilah.

“Pengguna ingin masuk ke kawasan bandar Kuala Pilah dari arah Jempol perlu melalui lorong bersebelahan Bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit seterusnya melalui Jalan Perpateh.

“Perkongsian maklumat bersama-sama pengguna jalan raya melalui media sosial dan talian telefon boleh dilihat di laman sosial Facebook Info Trafik Rasmi Kuala Pilah-Seremban dan Twitter Info Trafik _KP.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitannya melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-48429999 untuk sebarang pertanyaan berkaitan keadaan trafik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 5:16 PM