Nur Aqidah Azizi


Gambar Adzlan Sidek

SEBANYAK 20 laluan termasuk Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Nilai dekat sini, dijangka mengalami kesesakan hari ini, berikutan orang ramai pulang daripada menyambut Aidilfitri di kampung.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, keadaan sama turut dijangka berlaku pada Sabtu dan Ahad minggu depan yang juga penghujung cuti sekolah.

"Kesesakan itu berlaku disebabkan penambahan bilangan kenderaan di jalan raya berikutan orang ramai pulang ke tempat masing-masing pada masa yang sama selepas bercuti sempena Hari Raya.

"Kita menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis bertugas, mematuhi isyarat lalu lintas, patuhi had laju dan bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Antara laluan dijangka sesak ialah Jalan Seremban-Kuala Pilah, Jalan Rasah, Jalan Seremban-Port Dickson di Seremban; PLUS arah Utara dan Selatan, Jalan Batang Benar-Seremban di Nilai; Persimpangan lampu isyarat di pekan Gemencheh dan bandar Tampin di Tampin.

Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang (menghala ke Kuala Pilah) di Jempol; Jalan Port Dickson ke Seremban dan ke Melaka di Port Dickson; Jalan Seremban-Simpang Pertang di Jelebu.

Jalan Kuala Pilah- Seremban, Jalan Tampin-Kuala Pilah, Jalan Bahau-Kuala Pilah, Jalan Senaling-Seri Menanti di Kuala Pilah dan laluan berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi dan Jalan Seremban-Tampin di Rembau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 3:53 PM
KEADAAN trafik sesak berhampiran susur keluar persimpangan Port Dickson di Lebuhraya PLUS arah selatan berikutan orang ramai menggunakan kesempatan memenuhi undangan rumah terbuka dan menziarahi sanak-saudara sempena cuti perayaan Aidilfitri. FOTO Adzlan Sidek
KEADAAN trafik sesak berhampiran susur keluar persimpangan Port Dickson di Lebuhraya PLUS arah selatan berikutan orang ramai menggunakan kesempatan memenuhi undangan rumah terbuka dan menziarahi sanak-saudara sempena cuti perayaan Aidilfitri. FOTO Adzlan Sidek