DR Noor Hisham Abdullah dan ucapan tahniah daripada Dr Adham di Facebook (gambar kecil). FOTO arkib NSTP dan Facebook Dr Adham Baba
DR Noor Hisham Abdullah dan ucapan tahniah daripada Dr Adham di Facebook (gambar kecil). FOTO arkib NSTP dan Facebook Dr Adham Baba
Redzuan Muharam


MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menzahirkan penghargaan dan penghormatan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang diiktiraf oleh China Global Televisyen Network (CGTN) sebagai seorang daripada tiga doktor terbaik di dunia dalam menangani situasi Covid-19.

Ucapan penghargaan itu dibuat Adham menerusi Facebook miliknya, malam tadi dan rata-rata pengikutnya turut mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham atas pengiktirafan berkenaan.

Menerusi hantaran itu, Dr Adham turut memuat naik pautan berita laporan CGTN berhubung pengiktirafan diberi kepada Dr Noor Hisham.

“Saya sebagai Menteri Kesihatan Malaysia dan seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbangga dengan pencapaian KPK.

“Tahniah dari kami semua,” tulisnya.

Menurut laporan CGTN, Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang Covid-19 selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu mengetengahkan penampilan tenang, jelas dan meyakinkan bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pandemik itu.

Menurut CGTN, mereka bukan menteri Kabinet tetapi berjaya muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam memerangi Covid-19.

Malah, ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.

Menerusi laporan sama, CGTN menyifatkan penampilan berprofil rendah dan bersahaja menjadi daya tarikan Noor Hisham manakala Bloomfield menyifatkannya sebagai kakitangan awam paling sesuai bagi menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 2:02 PM