DR Noor Hisham. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Agensi

KETUA Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan dua lagi tokoh perubatan mendapat pengiktirafan media China serta menggelar mereka sebagai penyampai kebenaran dan hero dunia.

Portal China Global Television Network (CGTN) menamakan Dr Noor Hisham dan dua lagi tokoh perubatan iaitu Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat (AS) dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand sebagai ‘wajah paling dipercayai’.

Ketiga-tiga tokoh perubatan itu menampilkan sisi berbeza dalam waktu membimbangkan dunia ketika ini dengan menyampaikan maklumat dan saranan kesihatan untuk menenangkan orang awam.

Kira-kira dua bulan lalu, tiada sesiapa mengenali ketiga-tiga lelaki berkenaan namun, hari ini nama mereka disebut-sebut.

DR Anthony Fauci. FOTO AFP
DR Anthony Fauci. FOTO AFP

Dr Fauci, 79, adalah Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS (NIAD) manakala, Dr Bloomfield, 54, dan Dr Noor Hisham, 56, adalah ketua pengarah kesihatan di kementerian kesihatan negara masing-masing.

Mereka juga bukan menteri kabinet namun, bertanggungjawab untuk menyampaikan perkembangan terkini keadaan semasa pandemik Covid-19.

Walaupun ada masanya kerajaan bertindak lambat atau mengeluarkan arahan yang mengelirukan, ketiga-tiga tokoh ini akan memainkan peranan untuk memastikan orang awam kekal tenang dengan menyampaikan fakta meyakinkan.

Dr Fauci mengetuai NIAD sejak 1984 dan menjadi penasihat perubatan kepada enam presiden AS serta pernah ‘memerangi’ HIV/AIDS, Zika dan Ebola.

Dr Noor Hisham pula menyandang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan masih menjalankan tugas sebagai perunding kanan dan pakar bedah endokrin di Hospital Putrajaya.

DR Ashley Bloomfield. FOTO Radio New Zealand
DR Ashley Bloomfield. FOTO Radio New Zealand

Manakala, Dr Bloomfield sebelum ini bertugas di United Kingdom dan New Zealand serta pernah menyertai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

Dr Fauci dilaporkan bertugas antara 16 hingga 18 jam sehari sejak beberapa minggu lalu dan melayani sesi temubual dengan semua rangkaian televisyen yang ada.

Dr Noor Hisham pula belum pernah gagal membuat hantaran di Twitter dan Facebook walaupun pada lewat malam untuk memberikan maklumat terkini berkaitan situasi Covid-19 di Malaysia.

Lebih menarik lagi, hari Dr Bloomfield mengambil cuti rehat menjadi tajuk utama akhbar di New Zealand bulan lalu dengan paparan “Akhirnya Bloomfield Mengambil Cuti Sehari”.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 8:47 PM