Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Yusmizal Dolah Aling


KHIDMAT penghantaran ikan segar dan hasil laut ke seluruh negara akan diteruskan, meskipun selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif oleh 39 persatuan nelayan itu mendapat sambutan menggalakkan pengguna, sekali gus wajar dipertimbangkan untuk menjadi perkhidmatan tetap.

Katanya, sejumlah 31.8 tan metrik ikan dan hasil laut bernilai RM604,464 berjaya dijual di seluruh negara sehingga 8 April lalu dan ia bukan hanya menyelesaikan masalah pembekalan, malah isu pemasaran.

“Jumlah keseluruhan pendaratan hasil laut sepanjang 22 hari PKP hingga 8 April adalah 16,631 tan metrik dengan nilai RM59.02 juta.

“Antara hasil segar yang mendapat permintaan adalah kembung, cencaru, senangin, tenggiri, bawal, siakap, jenahak, kerisi, pari, udang dan sotong selain ikan segar beku QFish,” katanya.

Dalam tempoh PKP ini, LKIM menerima 810 transaksi dalam talian menerusi urus niaga di www.nekmatbiz.com.my yang membabitkan 4,991 kilogram (kg) hasil laut di Lembah Klang.

Kenyataan menyebut, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) juga menjual ikan secara khidmat penghantaran berpusat di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) di Taman Wahyu, Kuala Lumpur yang kini terjual 69,889.6 kg hasil laut.

Penghantaran membabitkan kawasan Putrajaya, Kajang, Damansara, Sungai Buloh, Rawang, Gombak, Selayang dan Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 11:53 AM