Mohamed Farid Noh


HANYA 1,169 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sudah kembali ke negara ini antara 1 April sehingga semalam.

Ia berikutan langkah republik itu menutup sekolah, perkhidmatan dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan bermula hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, data itu diperoleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membuat pemantauan di dua pintu masuk negara di Tambak Johor di sini, dan Tanjung Kupang, Gelang Patah.

“Hanya kira-kira 10 peratus daripada jumlah 11,698 rakyat Malaysia yang memasuki negara ini dari Singapura sejak 1 April sehingga semalam dikenal pasti sebagai pekerja Malaysia di republik itu yang pulang susulan langkah Singapura mengetatkan pergerakan di negara berkenaan.

“Kita anggarkan ada 40,000 pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang alik setiap hari ke republik itu namun kita tidak tahu jumlah yang tepat atau sama ada mereka akan pulang atau kekal di sana.

“Namun pihak berkuasa di Tambak Johor dan Tanjung Kupang sudah mengetatkan pemeriksaan di dua pintu masuk berkenaan dengan rakyat Malaysia yang mahu pulang perlu mengemukakan sijil kesihatan dari Singapura yang mengesahkan mereka sihat.

“Di pintu masuk negara, mereka akan diperiksa semula oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pengesahan sebelum diarah menjalani kuarantin selama 14 hari di kediaman masing-masing, ” katanya.

Proses pemeriksaan lebih ketat terhadap rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Proses pemeriksaan lebih ketat terhadap rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Semalam, Harian Metro melaporkan, ratusan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mulai tiba di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Kepulangan mereka itu susulan tindakan kerajaan Singapura mengarahkan beberapa perkhidmatan di republik itu dihadkan selain menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan bermula hari ini bagi mengekang penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:08 PM