Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan sejak Oktober hingga awal bulan ini bagi membantu siasatan kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan itu dibuat susulan dua kes cubaan penyeludupan masuk warga asing di Johor dan satu lagi kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Katanya, di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) seorang pegawai ditahan dan disiasat pada 12 Oktober lalu, namun kini berada dalam jaminan polis, manakala kes penyeludupan kedua di Kota Bahru, Kelantan, pada 27 Oktober, tetapi tiada pegawai Imigresen yang terbabit.

"Masing-masing seorang pegawai Imigresen ditahan iaitu di KLIA2 pada 1 November dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada dua hari lalu.

"Di KLIA2, pegawai itu sudah direman dan akan dituduh sewajarnya di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya ketika sidang media di CIQ, BSI di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penyeludupan warga asing yang membabitkan pegawai jabatan itu.

Pada masa sama, Khairul Dzaimee menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu dan semua yang terbabit dalam kes penyeludupan termasuk pegawai jabatan itu sendiri.

Katanya, seperti yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam, pegawai Imigresen yang disyaki terbabit akan disiasat dan berdepan tindakan tegas seperti dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.

KHAIRUL Dzaimee ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
KHAIRUL Dzaimee ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Bagaimanapun, beliau berkata, pembabitan pegawai Imigresen itu tidak menggambarkan tahap keseluruhan integriti jabatan dan ia dikira kes terpencil yang hanya membabitkan segelintir kecil pegawai sahaja.

Pada 12 Oktober lalu, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dipercayai memasuki negara ini menerusi pintu sempadan di KSAB, manakala enam lelaki warga India ditahan di KLIA2 pada 1 November lalu.

Pada 7 November pula, seramai 12 PATI warga Indonesia ditahan ketika pemeriksaan di CIQ BSI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 1:52 PM