Siti Rohana Idris


PEMBELIAN secara pukal oleh individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dengan alasan untuk diagihkan kepada golongan sasar antara penyumbang kepada gangguan bekalan keperluan makanan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata, tindakan pantas yang dijalankan pihaknya dapat mengekang keadaan itu selain pembelian panik orang ramai yang menyebabkan bekalan keperluan makanan tidak mencukupi pada awal pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kami tidak menafikan berlakunya pembelian panik baru-baru ini serta pembelian dalam jumlah yang banyak oleh NGO yang menyumbang kepada gangguan bekalan terbabit.

“Bagi memastikan bekalan keperluan makanan mencukupi, kami melantik 50 peruncit dan 36 pemborong terpilih di seluruh Kelantan yang mana orang ramai boleh mendapatkan terus bekalan menerusi mereka,” katanya kepada media ketika melakukan pemantauan di sebuah kedai pemborong di Wakaf Bharu, Tumpat sini, hari ini.

Azanizam berkata, pihaknya menerima sebanyak 149 aduan sepanjang tempoh PKP dan paling tinggi membabitkan penjualan penutup hidung dan mulut pada harga yang mahal selain beras tiada bekalan.

Katanya, KPDNHEP sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di premis malah sepanjang PKP, sebanyak 3,584 pemeriksaan sudah dibuat.

“Sebanyak 44 pasar raya termasuk kedai serbaneka dan farmasi dipantau oleh 133 pegawai penguat kuasa kami termasuk 94 pegawai pemantau harga.

“Kita juga mengadakan kerjasama dengan agensi lain antaranya Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bagi memastikan bekalan barang kawalan dan asas mencukupi,” katanya.

Azanizam (kanan) memberi jaminan bekalan makanan untuk orang ramai di negeri ini mencukupi sepanjang tempoh PKP. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Azanizam (kanan) memberi jaminan bekalan makanan untuk orang ramai di negeri ini mencukupi sepanjang tempoh PKP. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Terdahulu, beliau yang mewakili Kelab Sukan dan Kebajikan KPDNHEP Kelantan turut mengagihkan sebanyak 200 penutup hidung dan mulut kepada pengamal media Kelantan yang turut memerlukan alat perlindungan itu kerana mereka juga antara petugas barisan hadapan yang terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

Azanizam berkata, pihaknya turut menerima aduan berkenaan penjualan penutup hidung dan mulut buatan sendiri (DIY) yang dijual pada harga yang mahal namun barang itu bukan di bawah bidang kuasa mereka.

“Kami tetap melayan aduan itu dalam masa yang sama menerangkan mengenai bidang kuasa kami dan memberi kefahaman kepada orang ramai.

“Bagaimanapun, jika aduan itu agak serius kami akan menyalurkannya kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 3:27 PM