Pelitup muka tiga lapisan yang dijual dengan harga RM10 untuk lima keping kepada pelanggan yang tiada peralatan itu dan ingin masuk ke premis. FOTO Ihsan KPDNHEP
Pelitup muka tiga lapisan yang dijual dengan harga RM10 untuk lima keping kepada pelanggan yang tiada peralatan itu dan ingin masuk ke premis. FOTO Ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


SETIAP pelanggan yang tiada pelitup muka perlu membelinya sebanyak lima keping dengan harga RM10 sebelum dapat memasuki premis.

Itu syarat yang dikenakan pengurusan sebuah gedung pakaian terkenal di Kubang Kerian, Kota Bharu, yang mengambil kesempatan menjual pelitup muka dengan harga mahal bagi pelanggan yang ingin masuk ke premis mereka.

Sehubungan itu bertindak mengikut aduan daripada pengguna, sepasukan anggota dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan melakukan operasi ke premis berkenaan pada 1 petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, tindakan pihak pengurusan gedung pakaian yang melakukan pembelian bersyarat itu dipercayai bermula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memandangkan sektor runcit dibenarkan beroperasi.

"Hasil siasatan mendapati premis itu menjual pelitup muka dengan harga RM10 bagi setiap lima keping atau RM2 sekeping.

"Harga kawalan yang ditetapkan kerajaan bagi pelitup muka tiga lapisan adalah RM1.50 sekeping dan ini jelas pengurusan gedung pakaian itu mengambil kesempatan dengan menjual dengan harga lebih tinggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azanizam berkata, kesemua topeng muka yang dipamerkan untuk jualan disita untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 12, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menjual barang harga terkawal melebihi harga ditetapkan.

"Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan sama ada kompaun atau tuduh di mahkamah.

"Jika sabit kesalahan boleh dikompaun maksimum sehingga RM50,000 bagi syarikat dan RM25,000 bagi individu bergantung kepada ketetapan dalam garis panduan kompaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 2:21 PM