DATUK Amar Douglas Uggah Embas mempengerusikan mesyuarat khas JPBN Sarawak berhubung penularan wabak COVID-19, hari ini. FOTO DCMO
DATUK Amar Douglas Uggah Embas mempengerusikan mesyuarat khas JPBN Sarawak berhubung penularan wabak COVID-19, hari ini. FOTO DCMO
Mohd Roji Kawi


ENAM kes positif Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah sembilan kes selepas tiga pesakit diuji positif, semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, empat daripada kes positif terbaharu itu dilaporkan di Kuching manakala dua lagi di Limbang.

“Semua pesakit kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak bagi kes di Kuching manakala Hospital Miri bagi kes di Limbang ,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian ketika mengumumkan perkembangan terkini itu pada mesyuarat khas jawatankuasa itu, hari ini.

Difahamkan, semua enam kes positif terbaharu itu membabitkan mereka yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling di Selangor pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Uggah berkata, JPBN Sarawak sedang mengambil langkah untuk segera mengumumkan kes-kes baharu supaya orang ramai mendapat maklumat yang tepat.

Sementara itu, beliau sekali lagi merayu kepada mereka yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling supaya melaporkan diri di hospital terdekat atau Pejabat Kesihatan Bahagian untuk penyaringan COVID-19 dengan segera.

“Setakat ini, kami berjaya menjejaki 311 peserta perhimpunan itu tetapi kami percaya jumlah mereka jauh lebih ramai.

“Berikutan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengkaji Borang Deklarasi Kesihatan Sarawak yang dikumpul dari empat Lapangan Terbang bermula 2 hingga 05 Mac untuk mengesan mereka yang terbang ke Sarawak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 1:44 PM