GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nur Izzati Mohamad


SERAMAI 14,012 peniaga kecil dan penjaja berlesen di Pulau Pinang yang terjejas akibat Covid-19 boleh membuat permohonan Bantuan Tunai Penjaja Berlesen mulai esok.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, bagi penjaja di daerah Seberang Perai, permohonan boleh dibuat dengan melayari laman sesawang rasmi MBSP dan mengikuti beberapa langkah yang ditetapkan.

Katanya, permohonan yang berjaya akan diproses sebelum wang bantuan RM500 dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon.

“Pemohon dikehendaki memastikan segala maklumat yang dimasukkan adalah betul bagi mengelakkan sebarang kesilapan semasa proses pemindahan dibuat.

“Hanya penjaja berlesen yang memperbaharui lesen pada 2019 dan 2020 sahaja layak memohon bantuan ini,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook MBSP, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan 16 Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bagi memberikan bantuan segera kepada golongan terkesan secara langsung dengan penularan wabak Covid-19.

Antara pakej yang berkait langsung dengan MBSP adalah bantuan tunai secara ‘one off’ sebanyak RM500 kepada peniaga kecil dan penjaja berlesen merangkumi peniaga pasar malam, pasar tani dan kendara saji (food truck).

Seramai 6,957 peniaga dan penjaja kecil di Seberang Perai akan menerima bantuan terbabit.

Sebelum ini MBSP memaklumkan akan memuat naik portal bantuan itu pada 6 April, bagaimanapun ia diawalkan seminggu kerana memahami kesusahan yang dihadapi golongan peniaga dan penjaja kecil yang ketika ini tidak memperoleh pendapatan akibat penutupan premis mereka.

Dalam pada itu, Rozali mengingatkan kepada pemilik perniagaan bukan perlu tidak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 5:37 PM