Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pernah menjalani ujian saringan berikutan isteri menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di tempat kerja menyebabkan seorang peniaga makanan dan minuman di Jalan Bukit Tengah, di sini, mahu segera mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak).

Mohd Yushafizy Mohd Yusof, 33, mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera pada 26 Jun lalu, namun masih tidak menerima sebarang janji temu.

Bagaimanapun, katanya, dia lega selepas mengetahui mengenai penganjuran Movak di lima daerah di Pulau Pinang, hari ini, yang menfokuskan pemberian vaksin kepada peniaga dan penjaja kecil lalu tanpa berlengah mendaftarkan diri untuk menyertainya.

"Saya bimbang selepas melihat peningkatan kes ketika ini, tambahan pula baru-baru ini isteri saya menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di tempat kerja hingga kami sekeluarga terpaksa menjalani saringan dan mujur keputusan negatif.

"Isteri saya lengkap divaksin, begitu juga ibu mentua yang tinggal bersama kami dan mungkin menjadi penghalang kami daripada terkena virus ini.

"Sehubungan itu, saya mahu mencari perlindungan. Walaupun diberitahu masih boleh dijangkiti Covid-19 selepas dua dos vaksin, sekurang-kurangnya ia boleh mengelak daripada kesan lebih teruk, sekali gus dapat berniaga dengan selamat serta pelanggan tidak perlu risau keselamatan mereka," katanya ketika ditemui pada Program Movak di Kompleks Sukan Jalan Betek, di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran program itu dengan menfokuskan golongan peniaga amat bagus memandangkan penularan Covid-19 dalam premis perniagaan amat membimbangkan.

Katanya, golongan peniaga amat berisiko ditambah dengan daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berada pada zon merah dan keadaan boleh menjadi lebih parah jika tidak dikawal.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya menghantar 6,862 permohonan penjaja dalam kawasan Seberang Perai bagi mendapatkan suntikan vaksin melalui Movak yang berlangsung sehingga Khamis ini.

VAKSINATOR memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peniaga dan penjaja serta pekerja sempena Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti: Penang Vaksinasi Penjaja. FOTO Danial Saad
VAKSINATOR memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peniaga dan penjaja serta pekerja sempena Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti: Penang Vaksinasi Penjaja. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:01 PM