PASAR Awam Bukit Mertajam, Jalan Pasar diarah tutup dari beroperasi oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) sejak  31 Mei lalu. FOTO Danial Saad
PASAR Awam Bukit Mertajam, Jalan Pasar diarah tutup dari beroperasi oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) sejak 31 Mei lalu. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengetatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pasar awam dan premis di Seberang Perai akibat peningkatan mendadak kes positif Covid-19 termasuk kewujudan kluster membabitkan pasar awam.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti penjaja dan peniaga amat membimbangkan sekali gus boleh menjejaskan pendapatan golongan itu.

"MBSP akan mengetatkan pemantauan pematuhan SOP di pasar-pasar awam selain premis tumpuan ramai dan tidak akan berkompromi dengan pemborong atau peniaga yang ingkar.

"Berikutan kes positif Covid-19 semakin naik, orang ramai diseru supaya lebih peka dan mematuhi arahan serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya ketika pemeriksaan di Pasar Awam Bukit Mertajam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup selama 10 hari sejak Isnin lalu berikutan terdapat tiga peniaga dilaporkan positif Covid-19.

Rozali berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan pasar awam berkenaan sebagai kluster baharu dikenali sebagai Kluster Jalan Pasar.

"MBSP sudah mengeluarkan notis untuk melakukan ujian calitan kepada 265 peniaga berlesen dan 130 peniaga di luar pasar tanpa lesen.

"Sehingga semalam, seramai 164 orang disaring dengan 17 daripadanya disahkan positif, manakala 139 didapati negatif dan lapan masih menunggu keputusan," katanya.

Katanya, MBSP tidak akan membenarkan peniaga yang tidak melakukan ujian calitan untuk kembali berniaga, bahkan lesen akan ditarik balik selain boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 1:14 PM