GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


PENIAGA buah-buahan bermusim antaranya durian di Seberang Perai boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit jualan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya menyedari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti penjajaan tepi jalan, pasar tani, pasar malam, food truck dan pasar ramadan terjejas berikutan larangan yang dikuatkuasakan.

Berikutan itu katanya, MBSPmenyediakan inisiatif kepada peniaga buah-buahan bermusim di Seberang Perai untuk menjalankan perniagaan dalam tempoh penguatkuasaan PKP dengan mengikut syarat yang ditetapkan.

"MBSP menyediakan dua pilihan kepada peniaga iaitu membenarkan aktiviti jualan buah-buahan bermusim dijalankan di premis-premis perniagaan yang dibenarkan dibuka seperti di kedai makan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat PKP yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Pilihan kedua adalah menyewa ruang niaga milik MBSP dengan kadar bayaran tertentu," katanya pada sidang media ketika mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh Yang ke-4/2020 yang disiarkan secara langsung di Facebook MBSP, hari ini.

Rozali berkata, peniaga diberikan tempoh tiga bulan untuk menyewa dan menjalankan perniagaan di pasar awam dan kompleks penjaja MBSP.

"Penjaja perlu menjelaskan bayaran sewa petakatau gerai tertakluk kepada kadar sewa petak atau gerai terbabit dan membuat bayaran permit jualan buah-buahan bermusim sebanyak RM 45.00 bagi tempoh tiga bulan," katanya.

Menurutnya, permohon permit jualan buah-buahan boleh dibuat dengan melayari laman web MBSP di www.mbsp.gov.my dan klik pada Bahagian Perniagaan.

"Selepas itu peniaga perlu klik pada pautan Borang Permohonan Permit Jualan Buah-Buahan Bermusim Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum mengisi butiran lengkap termasuk pemilihan lokasi ruang niaga MBSP seperti yang diiklankan.

"Hanya permohonan yang lengkap akan diterima dan diproses dalam tempoh tiga hari bekerja dan mereka yang berjaya akan dimaklumkan melalui email dan panggilan telefon," katanya.

Dalam pada itu, Rozali memaklumkan bahawa MBSP membatalkan penganjuran dua program terbesar yang menjadi acara tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"MBSP mengambil keputusan membatalkan 'Seberang Perai International Conference on Ecotourism and Conversation Efforts' (SPICEC) dan 'Butterworth Fringe Festival.'

"Acara yang sepatutnya diadakan pada November dan Disember ini dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19 yang dijangka tidak akan berakhir dalam tempoh masa terdekat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 12:05 PM