ROZALI. FOTO Arkib NSTP
ROZALI. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Warga Seberang Perai boleh menikmati beberapa kemudahan sektor ekonomi yang diumumkan kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Pulau Pinang belum mencapai 50 peratus seperti yang ditetapkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, kerajaan mengumumkan beberapa kemudahan sektor ekonomi bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap dengan meletakkan syarat setiap negeri mesti separuh populasi dewasa menerima dua dos vaksin Covid-19.

Katanya, kemudahan itu merangkumi pembukaan beberapa aktiviti ekonomi di bawah sektor perdagangan dan pengedaran; sektor pembuatan; sektor perlombongan dan pengkuarian; kebenaran mengunjungi taman rekreasi awam bagi tujuan riadah dan pelaksanaan projek perintis destinasi gelembung pelancongan bagi negeri-negeri di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 berkuat kuasa semalam.

"Pembukaan kesemua kemudahan itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan yang mestilah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.

"Oleh yang demikian kemudahan itu tidak dapat dinikmati oleh penduduk negeri ini yang kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang direkodkan semalam berada pada tahap 37.1 peratus.

"Namun, MBSP mendapatkan kepastian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang bahawa kemudahan-kemudahan berkenaan boleh dilaksanakan di negeri ini tanpa perlu menunggu status vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai tahap 50 peratus kerana syarat itu belum terpakai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, MBSP memperoleh kepastian itu selepas mendapat pertanyaan khususnya daripada golongan peniaga yang keliru dan ragu berhubung status pemakaian kemudahan sektor ekonomi berkenaan.

"Pembukaan sektor-sektor ini akan memberikan manfaat kepada 4,286 premis perniagaan berlesen di seluruh Seberang Perai untuk memulakan operasi perniagaan.

"Namun harus diingatkan bahawa dalam sektor-sektor ini ada prosedur operasi standard (SOP) terkini yang perlu dipatuhi peniaga yang mereka boleh mendapatkan maklumat di Facebook dan Instagram MBSP," katanya.

Rozali berkata, beliau turut mengingatkan bahawa kemudahan yang diberikan bukanlah bersifat kekal dan ia boleh ditarik balik sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan SOP yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 4:16 PM