PENGUAT KUASA memeriksa produk yang dirampas. FOTO Ihsan KKM
PENGUAT KUASA memeriksa produk yang dirampas. FOTO Ihsan KKM
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Sebanyak 105 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik bernilai lebih RM800,000 dirampas dalam serbuan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tiga lokasi di sekitar Ipoh, Perak, Isnin lalu.

Serbuan dilakukan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, susulan aktiviti penjualan produk berkenaan secara runcit oleh pemilik premis berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua produk yang dirampas itu merangkumi pelbagai jenis produk bina badan yang tidak berdaftar serta mengandungi racun antaranya yohimbine dan hormon testosterone, selain merangkumi produk suntikan untuk bina badan.

"Hormon testosterone dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi, malah hormon ini kerap disalahgunakan oleh individu untuk tujuan membina otot badan.

"Premis yang diserbu ini juga disyaki adalah salah satu rangkaian pengedar terbesar keluaran-keluaran itu ke pasaran sekitar negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ANTARA produk yang dirampas. FOTO Ihsan KKM.
ANTARA produk yang dirampas. FOTO Ihsan KKM.

Dr Noor Hisham berkata, individu atau syarikat yang didapati terbabit menjual ubat-ubat dan kosmetik berkaitan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Katanya, jika disabit kesalahan individu itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

"KKM mengingatkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi untuk menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk-produk ini tidak terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya," katanya.

Beliau berkata, KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik dari media sosial.

Katanya, orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https//www/npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:49 PM