GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

KEBELAKANGAN ini, senario penjualan produk ubat-ubatan secara dalam talian dilihat semakin berleluasa. Pelbagai produk ubat diiklankan secara terbuka melalui media sosial atau secara dalam talian.

Selain itu, kewujudan aplikasi media sosial dan kemudahan telefon pintar menjadi platform penjualan pelbagai produk termasuk produk kosmetik, ubat-ubatan serta yang berkaitan dengan kesihatan secara dalam talian.

Pembelian produk ubat-ubatan dan kosmetik secara dalam talian daripada sumber tidak sah boleh mendedahkan pengguna kepada risiko penggunaan ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi atau ubat dicampur palsu dengan racun berjadual yang mungkin menyebabkan kesan mudarat. Dalam keadaan yang serius, ia boleh meragut nyawa.

Pengguna perlu mengetahui bahawa ubat dengan nombor pendaftaran MAL yang diakhiri dengan ‘A’ dikategorikan sebagai ubat terkawal. Oleh itu, ubat terkawal tidak boleh dijual secara dalam talian.

Pengguna dinasihati agar mendapatkan ubat atau produk kesihatan daripada premis farmasi komuniti yang sah. Elakkan membeli ubat-ubatan atau produk kesihatan daripada laman sesawang yang diragui.

Apakah tretinoin?


Tretinoin adalah ubat yang digunakan dalam rawatan jerawat (acne vulgaris) dan ia biasanya didapati dalam bentuk gel atau krim dalam pasaran.

Ia adalah ubat terkawal yang hanya dibenarkan dalam produk farmaseutikal yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tretinoin digunakan oleh pesakit untuk tujuan perubatan atas nasihat dan pemantauan doktor dan ahli farmasi yang bertauliah. Justeru, tretinoin tidak boleh dijual sewenang-wenangnya secara dalam talian.

Campur palsu tretinoin


Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan kulit.

Kebanyakan iklan produk kosmetik yang mengandungi tretinoin dipromosikan dengan memaparkan testimoni dan tuntutan yang sengaja direka atau tidak sah.

Penggunaan tretinoin tanpa kawalan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, menyebabkan kulit rasa pedih, kering, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Penggunaan tretinoin dalam kalangan ibu hamil pula mesti dielakkan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kecacatan pada janin.

Peringatan kepada penjual dan pengedar produk


Perlu diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk kosmetik yang dikesan mengandungi bahan terlarang dan telah dibatalkan notifikasi kosmetik adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula, jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Nasihat kepada masyarakat


Masyarakat perlu lebih berwaspada apabila memilih ubat-ubatan dan produk kosmetik secara dalam talian serta tidak mudah terpedaya dengan iklan dan testimoni yang membuat tuntutan tidak munasabah.

Orang ramai boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk kosmetik yang meragukan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan.

Orang ramai dinasihat untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melalui http://npra.moh.gov.my. Produk yang tidak wujud dalam sistem berkenaan dikhuatiri ketulenannya dan harus dielakkan.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Disediakan oleh

Nurul Husna Shaari

Pegawai Farmasi

Hospital Jempol

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:00 AM