GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


LELAKI parah akibat ditetak menggunakan parang oleh seorang lelaki dikenalinya di Kampung Bogag, Bau, semalam.

Kejadian kira-kira 10 pagi itu ketika mangsa, 40, yang bekerja sebagai pemandu lori sawit berada di rumahnya bersama seorang rakan.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyao berkata, suspek yang bersenjatakan parang dipercayai datang dalam keadaan marah sebelum melibasnya ke arah mangsa.

“Akibat tetakan itu, tangan kiri mangsa hampir putus, dua jari tangan sebelah kanan putus, dada dan kepalanya cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Bau untuk rawatan.

Bagaimanapun, Poge berkata, suspek berusia 40 tahun itu turut cedera di belakang kepala dan ditemui tidak sedarkan diri di tempat kejadian.

Katanya, suspek kini sedang dirawat di zon merah Hospital Umum Sarawak.

Rakan mangsa, seorang wanita berusia 35 tahun pula cedera di dada.

“Sebilah parang, dua batang kayu dan dua atap genting dirampas dari tempat kejadian,” katanya.

Poge berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 10:07 AM