Keadaan kereta Proton Saga yang dinaiki tiga beranak terbabit selepas melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu Jalan Bau-Lundu, semalam. FOTO MELVIN JONI
Keadaan kereta Proton Saga yang dinaiki tiga beranak terbabit selepas melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu Jalan Bau-Lundu, semalam. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Bau: Sepasang suami isteri cedera manakala bayi perempuan berusia 27 hari maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 13, Jalan Bau - Lundu.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang semalam ketika tiga beranak itu pulang beraya di Lundu.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Saga yang dipandu bapa mangsa hilang kawalan dan melanggar belakang lori yang diletakkan di bahu jalan.

"Akibat kemalangan itu, ibu bapa mangsa yang berusia 35 dan 48 tahun cedera manakala bayi mereka yang berumur 27 hari disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Bau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, beliau berkata pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Poge berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 5:20 PM