WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengambil beberapa langkah proaktif dengan memberi penangguhan sementara bayaran balik pembiayaan usahawan dan koperasi di bawah Bank Rakyat, TEKUN Nasional serta SME Bank bermula 16 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya prihatin terhadap impak dan kesan penularan Covid-19 ke atas usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro dan koperasi yang menerima kesan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Katanya, antara langkah diambil adalah penangguhan bayaran balik, bantuan pembiayaan, pengeluaran penuh simpanan serta penjadualan semula pembiayaan.

“Bagi TEKUN Nasional, semua usahawan yang masih dalam tempoh pembiayaan layak diberi penangguhan bayaran balik pembiayaan maksimum sehingga enam bulan.

“Bantuan berbentuk pembiayaan bertindih dengan penambahan amaun pembiayaan daripada baki pembiayaan sedia ada boleh diberikan kepada usahawan TEKUN Nasional yang terjejas dengan nilai maksimum sehingga RM10,000.

“Usahawan juga dibenarkan pengecualian khas untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan tertakluk kepada baki simpanan pembiayaan terdahulu dan pengeluaran simpanan bagi pembiayaan semasa (jika ada) adalah tidak dibenarkan. Dijangka 20,000 usahawan TEKUN akan mendapat manfaat daripada bantuan ini dengan anggaran kos sebanyak RM180 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi berkata, bagi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), koperasi diberi tambahan tiga bulan untuk mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan dan perlanjutan tempoh itu dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 14,600 koperasi.

“Koperasi juga boleh memohon penangguhan bayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) serta lain-lain pembiayaan sedia ada oleh SKM. Penangguhan ini akan diberi pertimbangan sewajarnya dan dijangka melibatkan anggaran kos sebanyak RM16.5 juta.

“Bank Rakyat pula menawarkan moratorium kepada individu dan syarikat dalam industri yang terjejas seperti penerbangan, pelancongan dan pengangkutan dengan tempoh penangguhan selama enam bulan selain pengurangan 50 peratus kadar keuntungan untuk pengeluaran wang tunai berbanding 18 peratus sebelumnya.

“SME Bank mengambil inisiatif penangguhan pembayaran selama enam bulan serta penstrukturan semula pinjaman mengikut kes yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,800 pelanggannya dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif pengecualian atau pengurangan sewa kepada penyewa premis dan ruang milik turut diambil membabitkan UDA Holdings Bhd, SKM, Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MAGIC) dan SME Bank.

“Seramai 1,500 penyewa dijangka dapat menerima manfaat dari bantuan daripada Uda Holdings Bhd membabitkan kos sebanyak RM4 juta.

“Koperasi diberi pertimbangan pengurangan sewaan bangunan diurus SKM sehingga maksimum peratus untuk tempoh masa tertentu yang memberi manfaat kepada 50 usahawan. Pengecualian sewa selama lima bulan kepada penyewa Co-Working Space (CWS) di MAGIC, Cyberjaya dan B744 Kuching, Sarawak.

“Penangguhan sehingga enam bulan bagi sewaan Kompleks Premis Usahawan SME Bank pula membabitkan 248 penyewa dengan penjimatan kos sewaan berjumlah RM2.3 juta,” katanya.

Katanya, Bank Rakyat menyediakan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi menampung keperluan koperasi serta perusahaan mikro dan PKS mulai 23 Mac ini tertakluk kepada syarat ditetapkan.

“Program pembiayaan adalah merangkumi Program Pembiayaan Khas BizCare bagi usahawan PKS, mikro dan koperasi serta Program Pendahuluan Tunai Kad Kredit-i dengan 500 koperasi dan 2,000 mikro PKS dapat menikmati faedah pembiayaan ini.

“SME Bank pula membantu dalam bentuk pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh 5.5 tahun pada kadar 3.75 peratus kepada usahawan yang layak di bawah skim Special Relief Facility (SRF) diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 10:34 PM