GEORGETOWN 21 MAC 2020. Sebahagian gelandangan yang berteduh di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). STR/ZUHAINY ZULKIFFLI
GEORGETOWN 21 MAC 2020. Sebahagian gelandangan yang berteduh di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). STR/ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


PEKARANGAN Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, Komtar Pulau Pinang kini dipenuhi gelandangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak Rabu lalu.

Tinjauan Harian Metro di perkarangan KOMTAR mendapati gelandangan turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjarakkan diri masing-masing.

Sebahagiannya mendakwa sering menerima makanan daripada individu atau badan bukan kerajaan (NGO), namun sukar mencari penutup mulut dan hidung kerana tiada wang, selain kehabisan stok di pasaran.

Lelaki yang enggan dikenali berusia 50-an, ketika ditemui mengakui sudah bergelandangan sejak PKP dilaksanakan kerana tiada tempat hendak berteduh bersama gelandangan lain.

“Di sinilah kami berlindung setiap malam. Sebelum ini, saya menjadikan kawasan sekitar Jalan Penang sebagai lokasi melelapkan mata pada malam hari.

“Bagaimanapun, sejak penularan wabak Covid-19, saya mengambil keputusan untuk berteduh di pekarangan (KOMTAR) ini,” katanya ketika ditemui, malam ini.

Petugas media yang bertugas membuat tinjauan PKP di pekarangan berkesempatan mengedarkan kira-kira 50 penutup mulut dan hidung kepada gelandangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata, pihaknya sedang berusaha bagi mendapatkan tempat perlindungan sementara kepada gelandangan berkenaan.

Katanya, proses pemindahan ke penempatan sementara itu kelak turut mengambil kira keadaan semasa wabak dan hanya pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempunyai kepakaran itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 11:45 PM