DZULKEFLY menjawab isu susulan tularnya di laman sosial hantaran gambar keluhan kakitangan perubatan dipercayai di sebuah hospital di Kedah.
DZULKEFLY menjawab isu susulan tularnya di laman sosial hantaran gambar keluhan kakitangan perubatan dipercayai di sebuah hospital di Kedah.
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa cakna dengan keluhan kakitangan perubatan dan sedang melakukan langkah penambahbaikan bagi meringankan beban kerja mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan untuk bertindak dengan menempatkan doktor pelatih ke hospital di daerah memerlukan.

"Salam semua. Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan petugas saban hari dan minggu.

"Namun ditegaskan, saya sudah mengarahkan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Muhammad Radzi) supaya segera menempatkan kembali pegawai (pelatih) perubatan ke hospital daerah memerlukan.

"Langkah tambah baik jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksanakan," ciapnya di platform X.

Ciapan itu dibuat bagi menjawab isu susulan tularnya di laman sosial hantaran gambar keluhan kakitangan perubatan dipercayai di sebuah hospital di Kedah yang memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama untuk bertemu doktor.

Menerusi gambar berkenaan, luahan itu ditulis pada papan putih.

Hantaran berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-rata bersimpati dengan kakitangan perubatan.

Manakala, ada juga netizen yang berkongsi pengalaman mereka menunggu lama ketika temujanji di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 1:54 PM