GAMBAR sekadar hiasan. Sebahagian gelandangan yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara susulan penularan Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Bernama
GAMBAR sekadar hiasan. Sebahagian gelandangan yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara susulan penularan Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Bernama
Zuhainy Zulkiffli


GELANDANGAN yang tinggal di penempatan sementara di Kompleks Masyarakat Penyayang di Georgetown, akan menjalani sesi temu duga bagi mengenal pasti haluan mereka selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, ia akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Katanya, sehingga kini terdapat seramai 35 gelandangan yang masih tinggal di kompleks berkenaan.

"Temu duga yang dijalankan itu bagi mengenal pasti sama ada mereka mahu bergelandangan semula atau memulakan hidup baru. Daripada tindakan itu, kita akan menasihati mereka supaya memilih kehidupan lebih baik.

"Mereka sudah tinggal di sini selama hampir dua bulan dengan menjalani kehidupan dalam persekitaran bersih dan sihat sekali gus memberi semula keyakinan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan beberapa badan bukan kerajaan hospital swasta, kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu menyelamatkan gelandangan di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Phee berkata, bagi gelandangan yang berusia 60 tahun ke atas, mereka diberi pilihan sama ada mahu menghuni rumah kebajikan atau pulang ke pangkuan keluarga.

Katanya, manakala gelandangan yang lebih muda, mereka dinasihati supaya mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan sendiri.

"Kita pernah mengumumkan Pulau Pinang akan membuka Pusat Transit Gelandangan dan berikutan terhenti akibat PKP, kita jangka ia akan siap pada 31 Disember 2021.

"Apabila siap kelak, gelandangan boleh bekerja di situ atau membantu mereka menjana pendapatan sendiri," katanya.

Pusat transit terbabit dibina bagi membendung dan menangani isu gelandangan yang dilihat semakin berleluasa di negeri ini.

Projek yang dicadangkan sendiri oleh Phee itu dan dijangka boleh menempatkan seramai 140 gelandangan.

Projek pertama yang berkonsepkan Triple Net Zero itu dibina di tapak berkeluasan 1,370 meter persegi di Jalan CY Choy, Georgetown milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 5:27 PM