SEGELINTIR peniaga berdegil. FOTO Ihsan MPS
SEGELINTIR peniaga berdegil. FOTO Ihsan MPS
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN segelintir peniaga di sekitar Selayang yang berdegil apabila meneruskan perniagaan walaupun menyedari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mengundang padah apabila dikenakan notis oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS), hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya giat memantau pematuhan arahan berkenaan terhadap aktiviti di premis perniagaan di sekitar daerah ini.

“Pemantauan hari pertama dilakukan pasukan pemantau penguat kuasa MPS di sekitar Selayang Jaya mendapati ada bengkel motosikal, kedai tayar, tempat cuci kenderaan, penjaja dan kilang pemborong ikan bilis masih meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

“Disebabkan itu, kami mengeluarkan beberapa notis mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342) kepada peniaga yang masih berdegil dan enggan memberhentikan operasi perniagaan mereka.

“Mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, MPS memandang serius perkara itu dan berharap peniaga tidak mencabar arahan dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, MPS memaklumkan pihaknya menutup operasi membabitkan beberapa cawangan dan kaunter sepanjang tempoh pelaksanaan perintah berkenaan.

“Antara premis yang akan ditutup adalah Ibu Pejabat MPS, Pejabat Cawangan Rawang, Pejabat Cawangan Sri Gombak, Pejabat Cawangan Wangsa Permai, Operasi Kaunter Pandu Laju dan Kaunter Bergerak MPS.

“Selain itu, semua kemudahan di bawah kendalian MPS seperti stadium, kolam renang, dewan awam, pusat reksreasi dan lain-lain yang berkaitan turut ditutup,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:01 PM