RAKAMAN video berdurasi 54 saat menunjukkan anggota penguat kuasa MPS melakukan sitaan terhadap peniaga jagung di Pasar Selayang Jaya, Selayang pada Jumaat lalu, yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
RAKAMAN video berdurasi 54 saat menunjukkan anggota penguat kuasa MPS melakukan sitaan terhadap peniaga jagung di Pasar Selayang Jaya, Selayang pada Jumaat lalu, yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) membuat laporan polis, hari ini berhubung tindakan penjaja yang melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa di Pasar Selayang Jaya, Selayang.

Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad berkata, kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu mendapat perhatian warganet selepas video insiden tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

"Tindakan ke atas peniaga itu dibuat berdasarkan aduan diterima daripada orang awam dan peniaga pasar berkaitan penjaja tanpa lesen di kawasan Pasar Selayang Jaya.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, kami mendapati beberapa penjaja tanpa lesen berniaga di sekitar kawasan pasar itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zin berkata, pihaknya kemudian mengeluarkan tiga kompaun dan sitaan terhadap tiga peniaga terbabit.

"Bagaimanapun, anggota penguat kuasa MPS berdepan provokasi oleh seorang daripada peniaga yang menjual jagung ketika tindakan sitaan dijalankan.

"Peniaga itu yang juga pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (PR) gagal memberikan kerjasama dan melakukan provokasi serta menimbulkan kekecohan ketika tindakan penguat kuasaan dilakukan," katanya.

Katanya, sebelum ini, peniaga itu pernah dikenakan tindakan amaran, kompaun dan sitaan oleh MPS.

"Namun, peniaga itu tetap berdegil dan meneruskan aktiviti perniagaan. Sebagai pemegang kad pengenalan PR, dia tidak layak untuk memohon permit penjaja berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Bilangan 20/2020.

"Kami memandang serius mengenai isu ini dan satu laporan polis dibuat atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

"Kami juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu yang membuat rakaman dan menyebarkan video sehingga menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta menjejaskan nama baik MPS," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 54 saat menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa MPS sedang melakukan sitaan terhadap peniaga jagung itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dalam video itu, peniaga jagung berkenaan dilihat meninggikan suara terhadap anggota penguat kuasa yang mahu melakukan sitaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 5:11 PM