ANGGOTA penguat kuasa MPS menyita dan menutup kedai runcit dimiliki warga asing di sekitar Selayang pada 6 Ogos lalu. FOTO ihsan MPS
ANGGOTA penguat kuasa MPS menyita dan menutup kedai runcit dimiliki warga asing di sekitar Selayang pada 6 Ogos lalu. FOTO ihsan MPS
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA kedai runcit dimiliki peniaga warga Indonesia berketurunan Aceh di sekitar Selayang disita dan ditutup Majlis Perbandaran Selayang (MPS), 6 Ogos lalu selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, seramai 30 anggota penguat kuasa dan dua jentera terbabit dalam serbuan itu di Lorong Sri Tanjung, Kampung Sri Gombak Indah, Lorong Anggerik dan Kampung Wira Damai.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati kelima-lima pemilik perniagaan itu yang juga warga asing mendirikan premis perniagaan mereka secara haram.

"Justeru, kami mengambil tindakan tutup dan sita terhadap lima premis berkenaan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Perlesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian (MPS) 2007.

"Kami akan mengambil tindakan meroboh semua premis berkenaan dibina tanpa kebenaran selaras dengan Seksyen 46(1)(a) dan Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam operasi berasingan, MPS menyita dan meroboh khemah milik pengusaha bengkel di Jalan SBC 3, Taman Sri Batu Caves pada 10 Ogos lalu.

Mohamad Zin berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mendapati pengusaha bengkel berkenaan meletakkan khemah di kawasan parkir kereta yang mengganggu orang ramai.

Beliau berkata, satu notis halangan mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133) dikeluarkan kepada pemilik khemah berkenaan bagi mengalihkan sendiri halangan itu pada 30 Julai lalu.

Menurutnya, peniaga berkenaan gagal berbuat demikian dalam tempoh masa diberikan menyebabkan tindakan sita dan roboh diambil.

"MPS akan terus giat membanteras operasi perniagaan tanpa lesen atau permit terutama membabitkan warga asing.

"Kami memberi amaran kepada pemilik lesen perniagaan yang sah supaya tidak 'memajak' lesen perniagaan mereka kepada warga asing atau bakal dikenakan tindakan jika didapati berbuat demikian.

"Pada masa sama, peniaga diberi amaran supaya sentiasa mematuhi peraturan seperti dalam syarat lesen perniagaan dan tidak mendirikan atau meletakkan sebarang halangan di kawasan awam hingga menimbulkan gangguan kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 9:59 PM