Juwan Riduan


PANIK apabila nombor telefon miliknya didakwa terbabit kes judi dan pengubahan wang haram, seorang lelaki kerugian RM20,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mangsa berusia 59 tahun itu menerima panggilan ketika berada di Putatan, Sabah daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan TM dari Kuala Lumpur, pada 9 pagi.

“Suspek menyatakan dua talian telefon yang didaftarkan atas nama mangsa terbabit dengan kes perjudian dan pengubahan wang haram. Panggilan telefon itu kemudian disambung kepada pegawai polis disyaki menyamar kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Mangsa diarah memindahkan semua wang dari akaunnya ke akaun Bank Negara (disyaki palsu) untuk siasatan lanjut pihak polis dan Bank Negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa kemudian membuat dua transaksi pindahan wang secara dalam talian ke akaun yang diberikan oleh suspek sebanyak RM20,000.

“Suspek sekali lagi mengarahkan mangsa membuat perpindahan wang RM10,000 namun tidak berjaya.

“Mangsa merasa dirinya ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.

“Kita minta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Macau Scam.

“Orang ramai boleh meminta nasihat di balai polis terdekat jika menerima panggilan yang meragukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 2:17 PM