Juwan Riduan


PANIK apabila didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram, seorang peniaga di Labuan kerugian RM130,130 akibat diperdaya sindiket Macau Scam menyamar polis dan pegawai mahkamah.

Kejadian berlaku 30 April lalu apabila lelaki berusia 30 tahun itu dihubungi oleh dua lelaki yang mengaku anggota polis dan pegawai mahkamah.

Suspek mengatakan mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dan saman berkaitan akaun di sebuah bank.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek memaklumkan mahu menyiasat akaun bank mangsa.

Katanya, suspek meminta nombor akaun serta nombor kad bank milik mangsa.

"Mangsa yang mempercayainya kemudian membuat pemindahan wang ke lima akaun bank yang diberikan atas nama yang berlainan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Farid berkata, mangsa membuat 19 kali transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM130,130.

"Mangsa yang berasa ditipu kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk membuat laporan, pada 1 Mei lalu.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.

"Kita juga minta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Macau Scam.

"Orang ramai boleh meminta nasihat di balai polis terdekat jika menerima panggilan yang meragukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:58 PM