SAARANI Mohamad. FOTO arkib NSTP
SAARANI Mohamad. FOTO arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad meminta agar seluruh pimpinan dan ahli Umno bertenang dan menerima keputusan pelantikan Menteri Besar Perak Ke-13.

“Saya meminta seluruh pimpinan dan ahli Umno Perak bertenang dan menerima keputusan yang ditentukan Allah SWT.

"Sesungguhnya, perjuangan kita tidak terhenti di sini, sebaliknya mesti diteruskan dengan penuh ketabahan dan kebijaksanaan dalam menyusun langkah ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru agar pimpinan dan ahli Umno patuh kepada keputusan yang dibuat Badan Perhubungan Umno negeri dari semasa ke semasa.

Sebelum ini media melaporkan, Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu, mengemukakan nama dan mempersembahkan nama tiga calon Menteri Besar kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta semalam.

Calon berkenaan ialah Saarani, Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin yang kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Iskandariah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 11:34 PM