SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu semua warga dan kakitangan institusi istana supaya tidak menyalahgunakan gelaran.
SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu semua warga dan kakitangan institusi istana supaya tidak menyalahgunakan gelaran.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu semua warga dan kakitangan institusi istana supaya tidak menyalahgunakan gelaran yang disandang selain penempatan menjalankan tugas di pejabat atau istana yang berkaitan untuk mendapatkan laba kepentingan peribadi.

Baginda bertitah, kesemua individu yang dikaitkan dengan institusi beraja bertanggungjawab untuk mempertahan, menjaga nama baik serta mendaulatkan institusi kesultanan dengan tidak menyalahgunakan gelaran dan jawatan untuk dijadikan platform memohon manfaat daripada pelbagai pihak.

Titah baginda, ia membabitkan manfaat daripada kerajaan, badan perniagaan mahupun individu atau untuk diizinkan berperanan sebagai perantaraan seperti melalui pemberian surat sokongan dan arahan kepada kerajaan atau membuka laluan untuk tujuan perniagaan mana-mana pihak.

“Titah ini membabitkan kesemua Ahli Dewan Negara Perak, begitu juga kesemua Orang Besar Negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai dan kakitangan di pejabat masing-masing termasuk yang bertugas di Pejabat Sultan, Pejabat Raja Muda dan Pejabat Raja Di Hilir.

“Begitu juga kakitangan yang bertugas di istana masing-masing. Kepala surat rasmi, cap serta surat rasmi, hendaklah sama sekali tidak digunakan untuk tujuan yang boleh memalitkan nama buruk dan mencemarkan institusi kesultanan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-169 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Sultan Nazrin turut perkenan melantik semula Ahli Dewan Negara Perak (Yang Bukan Rasmi) untuk tempoh dua tahun mendatang.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Negara yang memenuhi peranan dan menyempurnakan tanggungjawab sebaik mungkin dengan membantu mendaulatkan institusi kesultanan di negeri Perak Darul Ridzuan,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan istiadat angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak Ke-13 pada 3.30 petang hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, perlantikan Ahmad Faizal yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dibuat berpandukan Perkara XVI, Fasal 2(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Titah baginda, Ahmad Faizal dilantik berdasarkan dan pertimbangan bahawa beliau boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar Adun sebagai Menteri Besar.

“Beta disembah maklum oleh kepimpinan parti peringkat negeri Perak yang diwakili Umno, Bersatu dan Pas untuk menubuhkan kerajaan baharu atas nama Perikatan Nasional (BN) di mana setiap ketua parti di peringkat negeri mempersembahkan nama daripada parti masing-masing untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak Ke-13 untuk pertimbangan.

“Ketiga-tiga pemimpin mempersembahkan pengakuan bertulis bahawa akan memberikan sokongan padu kepada Adun yang mendapat perkenan,” titah Sultan Nazrin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 5:59 PM