Ahmad Faizal Azumu membaca watikah perlantikan Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. FOTO Muhaizan Yahya
Ahmad Faizal Azumu membaca watikah perlantikan Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin; Muhammad Apendy Issahak; Mohd Hafizee Mohd Arop; Teh Athirah Yusof dan Farah Suhaidah Othman

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meminta semua wakil rakyat yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) agar menghormati keputusan rakyat dan menghargai kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

Baginda bertitah, ia harus dilakukan dengan mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Rakyat telah membuat pilihan dan memberikan amanah baharu di setiap kawasan pilihan raya,” titah baginda pada istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak Ke-12 dan menandatangani watikah pelantikan di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu, dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Sultan Nazrin bertitah, PRU-14 yang sudah selesai memberi kemenangan kepada setiap rakyat yang memperlihatkan kematangan dalam menggunakan hak politik masing-masing.

Titah baginda, ia membolehkan proses memilih kerajaan, penubuhan kerajaan dan proses peralihan kuasa dapat dilangsungkan secara aman dan tenteram.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah memberikan komitmen membolehkan segala proses yang berkaitan dapat berlangsung dengan aman dan tenteram.

“Pilihan raya telah selesai. Cabaran utama pasca pilihan raya adalah untuk kembali menyatukan warga dalam semangat biduk berlalu, kiambang bertaut.

“Jauhilah sifat yang menang, menang semua; sementara yang kalah, kalah semua,” titah baginda.

Sultan Nazrin meminta semua pihak mengamalkan sifat yang sentiasa bersedia mendengar suara rakyat dengan minda terbuka serta bersedia mengaku dan membetulkan kesilapan.

“Semoga kerajaan Beta yang telah mendapat amanah daripada rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar yang lantikannya telah diperkenankan oleh Beta, akan berusaha membangunkan Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai sebuah negeri yang sejahtera dan mendapat keampunan Ilahi,” titah baginda.

Baginda bertitah, daripada perspektif Islam, politik tidak terbatas kepada urusan pemerintahan, tetapi turut berperanan penting dalam urusan pendidikan, kerohanian, membangkitkan kesedaran, menyemai kefahaman insan, serta penyebaran nilai dan prinsip.

Titah baginda, Islam menganjurkan untuk mencapai matlamat berkaitan secara aman, nasihat yang ikhlas, pujukan dan kepimpinan melalui teladan.

Baginda bertitah, Islam menganjurkan politik yang memandu insan melakukan kebaikan dan menahan diri daripada melakukan keburukan, menegaskan elemen integriti, kejujuran dan amanah yang wajib dijunjung dalam budaya berpolitik.

Titah baginda, ia dilaksanakan dengan keinsafan bahawa pertimbangan kepada segala perbuatan tidak terbatas ketika kehidupan dunia, tetapi akan berlanjutan ke alam barzakh, akan diadili pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar serta dijadikan penentu untuk menemui jalan ke syurga.

“Oleh itu, amalkan budaya politik yang selaras dengan nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam, semoga mendapat keredaan Ilahi,” titah baginda.

end.

From: Jalal Ali

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 9:00 PM