GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


AHLI perniagaan kerugian RM18,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai rakan di Kepala Batas, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 44 tahun mendakwa menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai rakan lama mangsa.

Katanya, suspek memberitahu dia mempunyai masalah perniagaan, dan segala dokumen diri juga hilang.

“Suspek kemudian memaklumkan ingin meminjam RM18,000 daripada mangsa bagi menyelesaikan urusan perniagaan.

“Mendengarkan suara suspek seperti rakan lamanya, mangsa tanpa berasa curiga terus membuat pemindahan wang sebanyak dua kali sebelum menelefon semula suspek bagi mengesahkan transaksi itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, suspek turut berjanji akan membayar semula wang itu kepada mangsa sebelum jam 2 petang pada hari sama

Bagaimanapun, ketika membuat semakan pada akaun miliknya didapati tiada sebarang transaksi dilakukan.

“Curiga dengan tindakan itu, mangsa menghubungi rakan lamanya menerusi nombor telefon yang disimpan.

“Namun, rakannya memaklumkan tidak pernah menghubungi mangsa hampir 10 tahun serta tidak meminjam wang daripada mangsa.

“Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis bagi membuat laporan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Norzainy berkata, polis menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

“Jangan mengikut arahan yang diberikan pemanggil tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau memastikan sama ada individu yang menghubungi adalah rakan sendiri bagi membuat pengesahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 1:44 PM