GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


AKIBAT percaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud melalui laman sosial Facebook, seorang lelaki di Kuantan terpaksa menanggung kerugian RM59,709.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian didakwa bermula Disember lalu apabila mangsa berusia 22 tahun berkenalan dengan seorang wanita di Facebook.

“Suspek menawarkan kepada mangsa untuk menyertai pelaburan matawang asing dan dijanjikan pulangan yang lumayan, kurang risiko serta wang modal pelaburan akan meningkat.

“Pada 16 Disember hingga 23 Disember tahun lalu, mangsa membuat beberapa kali pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM59,709.60,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, namun hingga kini pengadu tidak terima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan dan mendapati platform untuk urusan pelaburan yang digunakan tidak lagi berfungsi.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini, semalam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seorang doktor wanita berusia 32 tahun di sini terpaksa menanggung kerugian RM26,000 selepas diperdaya seorang suspek yang mendakwa rakannya ketika zaman persekolahan.

“Pada Isnin lalu, mangsa menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali yang perkenalkan dirinya sebagai rakannya ketika zaman persekolahan.

“Suspek yang menyamar sebagai rakannya meminta mangsa untuk masukkan wang ke dalam akaun atas alasan mangsa sebelum ini ada meminjam wang bagi membuka perniagaan cafenya sebanyak RM18,000.

“Pada keesokkannya, mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan dalam beberapa transaksi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM26,000. Selepas itu, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi nombor rakan yang sebenar namun dia terkejut apabila rakannya itu menafikan ada meminjam wang dengannya,” katanya.

“Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di IPD Temerloh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:12 PM