Tun Dr Mahathir Mohamad akui  tidak lagi mendapat sokongan majoriti, seterusnya tidak layak menjadi Perdana Menteri.
Tun Dr Mahathir Mohamad akui tidak lagi mendapat sokongan majoriti, seterusnya tidak layak menjadi Perdana Menteri.
Rafidah Mat Ruzki

PELETAKAN jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke tujuh Isnin minggu lalu, berlaku selepas beliau tidak lagi memperoleh sokongan daripada penyokongnya.

Dr Mahathir yang memuat naik hantarannya dalam blognya http://chedet.cc hari ini, berkata, ketika itu beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti, seterusnya tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, peletakan jawatannya diterima di Istana Negara sebelum beliau diarahkan memegang jawatan Perdana Menteri sementara.

"Perdana Menteri mendakwa krisis politik bermula apabila saya, Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Benarkah, tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan? Saya yang kononnya disokong oleh parti Kerajaan dan parti lawan, termasuk Najib Tun Razak (Datuk Seri Najib Razak) dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya? Ini tidak masuk akal.

"Yang benar ialah saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya. Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri," katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat bosan dengan ahli politik yang lebih mengutamakan politik daripada pentadbiran yang baik.

Katanya, beliau mencadangkan penubuhan Kerajaan Nasional yang bukan saja dianggotai orang politik yang berpengetahuan sebaliknya ahli parti juga akan menyertai Kerajaan sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti masing-masing.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, cadangan itu ditolak menyebabkan dia meletak jawatan.

"Dan berlarutanlah krisis ini. Saya tidak tahu bila ia akan tamat?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 7:52 PM