DR Azmi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
DR Azmi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Wartawan NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad dilihat masih mengungguli pilihan untuk kembali menerajui tampuk pemerintahan Malaysia sebagai Perdana Menteri kelapan walaupun sudah meletakkan jawatannya kelmarin.

Kekuatan dan aura dimiliki figura yang bakal menginjak usia 95 tahun itu tidak boleh dinafikan lantaran keupayaannya menjadi ‘penyelamat’ kepada Malaysia menerusi pelbagai krisis termasuk pentadbiran, ekonomi dan politik.

Mengulas berkaitan senario terbaru politik tanah air, penganalisis politik Profesor Madya Dr Azmi Hassan mengakui peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kelmarin berjaya memecah persepsi umum sesetengah pihak bahawa dia seorang yang tamak kuasa dan enggan turun dari ‘kerusi empuk’ seperti dijanjikan.

Beliau berkata, tindakan berani Dr Mahathir cukup membuktikan dia bukan individu gilakan kuasa seperti dicanangkan sesetengah pihak.

“Dr Mahathir berjaya memecahkan permainan persepsi dan membuktikan dia bukan tamak dengan jawatan walaupun masih mendapat sokongan kuat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat untuk meneruskan mandat sehingga tamat penggal.

“Tokoh ini tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kerusi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semata-mata kerana sokongan kuat dari Ahli Parlimen lain di Dewan Rakyat sudah memadai untuk dia terus diberi mandat menjadi Perdana Menteri kelapan,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan berpotensi dilantik menerajui jawatan nombor satu itu dilihat belum mendapat sokongan padu bukan saja dari anggota partinya, malah Ahli Parlimen lain.

Katanya, ia dikuatkan lagi dengan ketiadaan nama wakil rakyat Pagoh itu disebut-sebut sejak ‘drama’ peralihan kuasa ini dicipta dalam Pakatan Harapan (PH) walaupun berpengalaman luas sebagai Menteri Besar, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, sokongan besar daripada Ahli Parlimen terutamanya dari PPBM dan parti lain sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Presidan PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilihat memerlukan sokongan padu Ahli Parlimen selain PKR sendiri susulan 11 ahli parlimennya yang dijangka membentuk blok ahli parlimen bebas di Dewan Rakyat.

Menurutnya, aura dan personaliti dibina sejak menjadi Menteri ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir selain ketika membangkitkan era reformasi belum mampu memberikannya jalan mudah untuk merealisasikan impian sebagai Perdana Menteri.

“Anwar perlu dapatkan sokongan majoriti yang kuat.

“Jadi, parti politik dari Borneo seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) kini menjadi penentu sama ada sokongan diberi kepada Anwar atau sebaliknya selain dua parti ini masih menanti siapa yang dapat memberikan lebih manfaat kepada Sarawak dan Sabah,” katanya.

Tidak kurang juga, nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga disebut-sebut bakal menjadi Perdana Menteri baru jika dia diangkat Muafakat Nasional yang diterajui Umno dan Pas.

Katanya, Tengku Razaleigh antara ahli politik yang bukan saja mampu meraih sokongan Melayu, malah bukan Melayu juga dilihat selesa dengan pendekatan dilakukannya yang tidak suka memainkan sentimen perkauman dan agama sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 1986.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:35 AM